"BELAJAR membuatkan diri saya terasa muda." Begitulah luahan seorang ibu, Hizmawati Madzin yang memutuskan untuk menyambung pelajaran walaupun sudah berkeluarga.
Melanjutkan pengajian di peringkat Ph.D atau Doktor Falsafah dalam bidang sains pengkomputeran di Universiti Putra Malaysia (UPM), wanita berusia 29 tahun itu memberitahu, dia mengambil keputusan meneruskan pelajaran untuk meningkat profesionalisme diri.
Akuinya, ketika memulakan pengajian sebelum menimang cahaya mata, perjalanan hidupnya tidak langsung terganggu.
Bagaimanapun, dengan kehadiran seorang bayi lelaki bernama Muhamad Rayyan Mohd. Faizal, jadual hidupnya berubah dengan agak drastik.
Hizmawati mengakui agak stres dalam tempoh tiga bulan pertama menimang cahaya mata. Dugaannya semakin berat apabila ketika itu adalah tarikh akhir penghantaran beberapa bahan rujukan dan penerbitan.
"Tidak dinafikan, jadual pengurusan harian keluarga benar-benar berubah selepas saya dikurniakan cahaya mata, berbanding sebelum mempunyai anak.
HIZMA perlu membahagikan masa dengan sebaik-baiknya agar pelajaran dan kehidupan berkeluarga seimbang.
HIZMA perlu membahagikan masa dengan sebaik-baiknya agar pelajaran dan kehidupan berkeluarga seimbang.
"Saya masih ingat lagi pada awal sesi pembelajaran, pulang sahaja dari kelas, saya sering menangis mengenangkan bebanan kerja yang harus dilakukan, apatah lagi kerja rumah yang harus dipikul.
"Saya mendirikan rumah tangga pada bulan Julai 2005 dan dikurniakan cahaya mata tiga tahun kemudian. Waktu itu, saya terpaksa mencari penyelesaian menguruskan masa untuk suami, anak dan juga pelajaran," katanya yang sebelum itu merupakan seorang tutor di UPM.
Sehubungan itu, wanita yang mesra dengan panggilan Hizma memperuntukkan masa siangnya di kelas manakala waktu malamnya pula akan diluangkan untuk suami dan anaknya. Malah, berbeza dengan pelajar lain yang bebas menelaah pada bila-bila masa, waktu ulang kaji wanita itu adalah di antara pukul 7 pagi hingga 9 pagi.
"Waktu itu biasanya Rayyan belum bangun dan saya mengambil peluang itu untuk menelaah pelajaran pada awal pagi," kata Hizma yang akan menghantar Rayyan untuk dijaga oleh ibu, di Kajang pada siang hari.
Kini usia Rayyan menginjak lapan bulan. Jadual harian Hizma kembali teratur selepas beliau sudah dapat membahagikan masa antara pembelajaran dan keluarga.
Lantas tanggapan bahawa wanita berkeluarga tidak mempunyai peluang menghabiskan pelajaran, ditepis oleh ibu muda tersebut. "Itu sebenarnya psikologi semata-mata," katanya.
Lebih menarik lagi, Hizma bersyukur kerana walaupun dibebani tugasan yang banyak, dia masih berkesempatan memberi anaknya susu badan.
"Saya puas hati melihat Rayyan membesar dengan sihat dan saya dapat belajar dengan tenang.
"Menjadi ibu dan pada masa yang sama bergelar pelajar bukanlah satu perkara mudah, tetapi sokongan padu keluarga dan suami memberikan saya semangat untuk mencapai kejayaan cemerlang," jelasnya lega dengan apa yang dilakukannya kini.
Sementara itu, Siti Shafurah Abas, 27, turut menjelaskan bahawa hasratnya menyambung pelajaran dalam Ijazah Lanjutan Nutrisi Klinikal di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah untuk mengubah kehidupan diri dan keluarga.
Dia memutuskan untuk berhenti kerja sebagai pegawai perundingan pemakanan di salah sebuah hospital kerajaan semata-mata ingin memenuhi impiannya itu.
"Siapa tidak ingin melihat keluarganya hidup senang dengan pendapatan yang tinggi, dapat membahagiakan suami dan anak-anak.
"Bagi saya, sampai bila kita hendak hidup sebegini sekiranya tiada perubahan dalam hidup. Kita seharusnya mempunyai perubahan dalam diri dan kerjaya agar suatu hari nanti kita dapat mencapai apa yang diingini.
"Belajar sememangnya memberi motivasi kepada diri saya. Tidak ada masalah bagi seseorang isteri yang bergelar ibu melanjutkan pelajaran. Mereka akan menjadi contoh kepada anak-anaknya suatu hari nanti," ujar ibu kepada dua orang cahaya mata iaitu Sheikh Aqil Hakimi Sheikh Ahmad Haiqal, 2, dan Siti Sofea Hana Sheikh Ahmad Haiqal, 8 bulan.
Sebagai seorang pelajar, ibu dan isteri, seseorang itu seharusnya bersikap tegas dalam hal melibatkan pengurusan masa.
"Disiplin diri adalah tonggak seseorang itu berjaya memperoleh sesuatu yang diimpikannya.
"Saya terpaksa bahagikan dua masa untuk belajar dan keluarga. Pada waktu pagi, saya menghabiskan masa di universiti, manakala pada waktu petang dan malam pula saya meluangkan masa bersama anak-anak dan suami," katanya sambil menjelaskan waktu menelaah bahan-bahan bacaan bermula dari pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi.
Till then..Muah! Muah!